Wednesday 31 October 2012

Jom tonton 2...

Jom tonton!

Ilham Kartunis





Poster Keselamatan Jalan Raya



Makna warna pada lampu isyarat





Lampu Merah
Berhenti!

Lampu Kuning
Bersedia untuk berhenti dan berhati-hati

Lampu Hijau
Teruskan perjalanan dengan selamat :)

Simbol Peraturan Jalan Raya


9 Sikap Buruk Pemandu di Malaysia








1) Disiplin yang lemah di kalangan pemandu
Disiplin yang lemah menyebabkan ramai pemandu di Malaysia mengabaikan undang-undang di jalan raya. Contohnya seperti apabila menghadapi lampu isyarat merah, terdapat beberapa yang memilih untuk mengabaikannya dan sekaligus melanggarnya. Telah banyak berlaku kemalangan-kemalanga maut akibat daripada tindakan melanggar lampu isyarat merah ini.



2) Tidak mematuhi lampu isyarat
Sekali lagi, disebabkan disiplin yang lemah, pemandu-pemandu dan penunggang motosikal lebih cenderung untuk mengabaikan lampu isyarat. Ini merupakan satu lagi contoh di mana pemandu tidak mengikuti lampu isyarat. Jika diperhatikan terdapat beberapa kenderaan yang pada mulanya berhenti ketika lampu merah akan bergerak kerana sudah tidak sabar lagi untuk menunggu terlalu lama. Sikap tidak sabar di lampu isyarat ini cukup berbahaya. Kemalangan-kemalangan boleh berlaku dengan mudah. Pemandu kereta adalah dinasihatkan untuk berfikir dengan berhati-hati mengenai ini.


3) Memotong di sebelah kiri jalan
Memotong di sebelah kiri jalan tidak dibenarkan kerana ia berbahaya. Tetapi pemandu-pemandu Malaysia kelihatan gemar untuk menggunakan cara ini ketika memandu. Selalu kita lihat penunggang motorsikal yang gemar untuk memotong di sebelah kiri jalan.


4) Memandu terlalu laju
Walaupun terdapat papan tanda had laju di sepanjang jalan raya, tidak ramai yang mematuhinya. Kebiasaannya had laju untuk lebuhraya-lebuhraya persekutuan ialah 80 atau 90 kilometer sejam manakala lebuhraya-lebuhraya yang menghubungkan antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia seperti Lebuhraya Utara Selatan, had lajunya ialah 110 kilometer sejam. Banyak kes kemalangan maut yang berlaku di negara ini adalah akibat daripada memandu terlalu laju. Oleh itu, sila patuhi had laju. “Biar Lambat Asal Selamat”.


5) Tidak berhenti di persimpangan
Ramai pemandu dan penunggang motosikal mempunyai satu kecenderungan untuk tidak berhenti di persimpangan. Terutamanya di simpang jalan yang tidak mempunyai lampu isyarat walaupun terdapat papan tanda “Berhenti” di situ. Cara sebegini mudah mengakibatkan kemalangan. Alangkah bagusnya jika semua pemandu di Malaysia dapat berhenti terlebih dahulu ketika di persimpangan. Kemudia lihat kiri dan kanan jalan, jika tiada kenderaan barulah anda boleh meneruskan perjalanan. Dengan ini sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan.

6) Tidak memakai topi keledar
Walaupun terdapat satu undang-undang yang memerlukan penunggang dan pembonceng motosikal untuk memakai topi keledar, masih ramai yang tidak mengendahkannya terutama sekali di kampung-kampung dan kawasan pedalaman. Setiap tahun banyak kes kemalangan maut yang berlaku adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Kerajaan telah melancarkan banyak kempen untuk menggalakkan orang awam untuk memakai topi keledar. Baru-baru ini dalam satu kempen, sejumlah 135,000 topi keledar telah diberikan secara percuma kepada penunggang motosikal.


7) Kegagalan untuk menggunakan isyarat bila membelok
Penggunaan isyarat-isyarat dan penunjuk-penunjuk bila membelok adalah penting. Ia sebagai petunjuk kepada kenderaan lain di belakang dan hadapan anda. Kegagalan pemandu memberikan isyarat secukupnya ketika memasuki simpang mungkin akan menyebabkan anda dirempuh dari belakang oleh pemandu lain.


8) Memotong di garisan-garisan berkembar
Memotong di garisan-garisan berkembar adalah tidak dibenarkan sama sekali. Oleh itu, jangan sesekali melakukannya kerana ianya amat berbahaya. Kebiasaannya garisan-garisan berkembar ini ada di selekoh-selekoh tajam. Pemandu sama sekali tidak dapat melihat dengan jelas kehadiran kenderaan di hadapan. Ini juga merupakan faktor utama banyak kemalangan jalan raya berlaku di Malaysia.


9) Gagal berhenti di lintasan pejalan kaki
Di Singapura , kegagalan pemandu untuk berhenti di lintasan pejalan kaki ketika ada yang mahu melintas adalah satu kesalahan yang serius. Walaubagaimanapun, di Malaysia pemandu-pemandu lebih gemar untuk meneruskan perjalanan walaupun melihat ada pejalan kaki yang mahu melintas di lintasan tersebut. Sikap ini cukup mengecewakan kerana ianya tidak menunjukkan rasa bertimbang-rasa dan bertanggungjawab di kalangan pemandu di negara ini.

Contoh Karangan 2.Tema: Punca Kemalangan Jalan Raya

Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun.

Huraikan punca-puncanya.


Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.

Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.

Contoh Karangan.Tema: Kemalangan Jalan Raya



Soalan:

Kemalangan di jalan raya menyebabkan ahli keluarga kehilangan anggota yang tersayang. Tulis satu karangan tentang usaha-usaha yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.


Contoh Karangan Pelajar:


“Pemandu tertidur mengakibatkan lorinya melanggar sebuah kereta.”
“Pembonceng motosikal meninggal dunia akibat kecuaian penunggang.”
“Pelanggar peraturan jalan raya mesti dikenakan hukuman yang lebih berat.”

               Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-usaha yang patutdiimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang merunsingkan dan mengacau-bilaukan minda masyarakat ini?

Kemalangan jalan raya tidak harus dipandang enteng,
Mesti dibanteras ke akar umbi,
Kudrat semua pihak mesti digembleng,
Azam janganlah berbelah bagi.

              Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.

                Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.

                        Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik.Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

                         Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan dapat dikurangkan.

                          Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.


                         Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”. Pengguna-pengguna jalan raya mestilahmengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”

NGERI!!! Terkulai Di Tempat Duduk











Photo: Trilogi tragedi kemalangan semalam di MITC Melaka gambar dari Andarjalaz Empire -MZ




Kemalangan 1

AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.

Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah.

Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.

Lori hadapi masalah brek.

Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan.

“Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak.

Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita.

“Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian.

“Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Empat jam keluarkan mangsa

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit.

“Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.










Kemalangan 2


Lelaki rentung rempuh belakang lori penyeludup

Alor Gajah: Seorang lelaki rentung selepas keretanya merempuh belakang sebuah lori penyeludup di Kilometer 194.9, Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi semalam.

Mangsa, Lor Kuan Chuan, 26, dalam perjalanan ke arah utara apabila kereta Perodua Myvi dipandunya gagal dikawal dan merempuh belakang lori membawa muatan rokok dan minuman keras yang diseludup sebelum kenderaan diseret kira-kira 100 meter dalam kejadian jam 6 pagi itu. Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Mangsa tersepit di tempat duduk apabila kereta terperosok di bawah lori manakala pemandu lori berkenaan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, yang mengesahkan kejadian itu berkata, identiti pemandu lori belum dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan, lori berkenaan milik seorang lelaki di Pontian, Johor.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan didaftarkan menggunakan alamat di Ipoh, Perak. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kematian,” katanya.

Lori bawa barang seludup

Pengarah Kastam Diraja Malaysia Melaka, Datuk Mohd Nasir Said, mengesahkan barang yang dibawa lori berkenaan diseludup dan bernilai sekitar RM350,000 dengan jumlah cukai lebih RM2 juta.

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana barang itu dibawa masuk dan ke mana hendak dihantar,” katanya.

Penguasa Kanan II Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Hadzar Hasan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.16 pagi dan menghantar empat jentera, dua dari balai Ayer Keroh dan masing-masing satu dari Jasin dan Bukit Katil.

“Seramai 18 anggota mengambil sedikit masa untuk sampai kerana perlu melalui Tol Lipat Kajang untuk ke lokasi.

“Kerja memadam api selesai jam 7.35 pagi dan mangsa didapati tersepit dan rentung 80 peratus manakala kenderaannya hangus,” katanya.







Malang Tidak Berbau







MALANG TIDAK BERBAU

        Nahas jalan raya pasti berlaku jika wujudnya kecuaian. Sama ada berlakunya kecederaan dan maut di tempat kejadian, kita jangan lupa bahawa nyawa dianggap paling berharga daripada harta benda dan makanan enak jika kita masih hidup, tetapi apabila berlakunya kemalangan setiap mangsa pastinya akan lupa hal itu. Sewajarnya berhati-hati di jalan raya atau 'anda pasti boleh mengubahnya' adalah sebagai pepatah hidup yang boleh mendidik pemandu-pemandu kenderaan supaya mematuhi segala peraturan jalan raya untuk mengelakkannya daripada tragedi kemalangan maut.

      Hari ini, nahas jalan raya yang boleh meragut nyawa semakin membimbangkan semua pihak. Pihak keluarga akan kehilangan orang yang tersayang sama ada suami atau isteri, tunang mahupun ibu dan ayah jika kecuaian itu diletakkan di tempat yang paling utama. Kita sebenarnya boleh berhati-hati di jalan raya jika kita mahu seperti memohon perlindungan daripada Allah S.W.T untuk menyelamatkan perjalanan yang panjang, tidur yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan supaya mental dan fizikal kita dalam keadaan sihat dan segar, selalu memastikan kenderaan yang akan dipandu dalam keadaan sempurna, memandu secara berhemah, sentiasa menumpukan perhatian kepada aspek pemanduan, memandu secara perlahan dan bukannya secara terburu-buru sama ada ingin cepat sampai ataupun berlumba, elakkan memandu sambil makan dan minum atau menggunakan telefon bimbit, elakkan memotong di garisan berkembar atau apabila kenderaan lain beratur panjang dan sebagainya.

            Berdasarkan statistik Ops Sikap XIII hingga Ops Sikap XXII 2011 yang dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik, Bukit Aman berhubung kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian di negara ini turut mencatatkan peningkatan yang agak membimbangkan. Misalnya dalam Ops Sikap XIV 2007 (jumlah nahas: 14,930 dan kematian 207 kes), Ops Sikap XVI 2008 (jumlah nahas: 14,991 dan kematian 190 kes), Ops Sikap XVI 2009 (jumlah nahas: 14,618 dan kematian 212 kes), Ops Sikap XXI 2010 (jumlah nahas: 14,183 dan kematian 201 kes) manakala Ops Sikap XXII 2011 (jumlah nahas: 17,288 dan kematian 199 kes).

          Penulis seringkali melihat kejadian nahas jalan raya setiap kali ingin membuat liputan berita. Sama ada mangsa adalah penunggang maotosikal apabila bertembung dengan kenderaan dari arah yang bertentangan atau sebagainya, kejadian nahas berkenaan membawa padah jika kecuaian dan sikap tidak berhati-hati semasa berada di jalan raya diletakkan di tempat yang utama.

           Kemalangan sebenarnya dapat dielakkan jika semua pihak bertimbangrasa dan berhemah semasa berada di jalan raya. Amalan memandu secara terburu-buru bukan budaya kita kerana sikap sedemikian boleh mengundang padah. Apatah lagi, jika memandu dalam keadaan mengantuk menjadi penyebab kepada nahas ngeri itu. Dalam hal ini, berhati-hatilah di jalan raya, sayangilah nyawa anda dan ingatlah orang yang tersayang. "Anda boleh mengubahnya".


Sumber: Statistik Ops Sikap XIV 2007 - XXII 2011,
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik, Bukit Aman.











Tips Pemanduan Berhemah





Amalan Pemandu Berhemah

  • Mulakan dengan doa




  • Rancang perjalanan anda
Anda dikehendaki mengenalpasti laluan yang akan diambil untuk mengelak memandu dalam keadaan teragak-agak. Tentukan terlebih dulu kawasan rehat dengan menggunakan peta.

  • Dapatkan rehat mencukupi
Elakkan diri memandu di tengah malam ataupun awal pagi kerana ketika itulah tubuh memerlukan masa rehat. Perjalanan jauh selepas bekerja atau makan menyebabkan anda letih dan mengantuk.



  • Elak mengambil ubat yang tidak bersesuaian
Elak mengambil minuman atau ubat yang beri kesan mengantuk.


  • Buang perasaan negatif
Hindarkan Perasaan Negatif seperti marah, kecewa dan teragakagak sebelum memandu Perbuatan berkenaan boleh mendorong untuk melanggar peraturan jalan raya seperti memandu laju dan secara berbahaya.

  • Periksa Kenderaan terutama sebelum memulakan perjalanan jauh
Periksa bahagian enjin seperti minyak pelincir, bateri, tali kipas dan air radiator. Selain itu periksa bahagian lampu utama, lampu isyarat, lampu brek dan lampu syarat kecemasan. Anda juga dikehendaki memeriksa bahagian penting tayar seperti tekanan angin, keadaan tayar dan tayar gantian. Periksa bahagian brek seperti minyak brek, brek tangan dan keberkesanan brek serta memeriksa getah pengelap cermin.



Memandulah Dengan Berhemah. Ingatlah Keluarga Tersayang